Thursday, October 6, 2016

Bill Gates kekal terkaya dengan harta USD81 bilion




New York: Bill Gates mengekalkan statusnya sebagai lelaki terkaya di Amerika Syarikat tahun ini dengan nilai bersih hartanya berjumlah AS$81 bilion (RM336 bilion), lapor majalah Forbes.
Majalah itu mengumumkan senarai tahunannya mengenai orang paling kaya di Amerika Syarikat, semalam, dengan ramai nama terkenal di tempat teratas.
Pengasas Microsoft itu sekali lagi menduduki tempat teratas pada 2016, mengekalkan kedudukan itu selama 23 tahun berturut-turut.
Tempat kedua melihat perubahan apabila pengasas Amazon, Jeff Bezos mengalahkan Ketua Pengarah Eksekutif Berkshire Hathaway, Warren Buffett dengan nilai bersih hartanya sebanyak AS$67 bilion (RM278 bilion).
Buffett menduduki tempat kedua selama 15 tahun berturut-turut tetapi senarai semalam meletakkannya di tempat ketiga dengan nilai bersih hartanya sebanyak AS$65 bilion (RM269 bilion).
Dua lagi tersenarai dalam lima tempat teratas ialah pengasas Facebook Mark Zuckerberg - AS$55.5 bilion (RM230 bilion) serta pengasas Oracle, Larry Ellison - AS$49.3 bilion (RM204 bilion).
Donald Trump jatuh ke tempat 156 dengan hartanya sebanyak AS$3.7 bilion (RM15.3 bilion) - kurang AS$800 juta (RM3.3 bilion) berbanding tahun lalu disebabkan kelembapan dalam pasaran hartanah New York. - Agensi