Mumia Yuya adalah Nabi Yusuf as?
Mukadimah
Penulis sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa tidak salah untuk
mencari sesuatu kebenaran asalkan tidak menjejaskan akidah sebagai
seorang muslim. Sebenarnya penulis benar-benar tertarik dengan satu
cabang kajian yang sering dipandang sepi oleh umat Islam iaitu
Egyptologi.
Egyptologi adalah kajian yang terperinci merangkumi sejarah, adat,
agama, bahasa dan tatacara hidup masyarakat Mesir yang dipercayai telah
mendiami lembah sungai Nil sejak 3000 sebelum masihi sehingga abad ke-4
selepas masihi. Di Amerika Syarikat, Egyptologi diklasifikasikan sebagai
salah satu cabang kepada bidang Arkeologi.
Ahli-ahli Egytologi yang pertama
Ahli ‘Egyptologi’ yang pertama dipercayai adalah Firaun Mesir itu
sendiri iaitu Tutmoses IV. Tutmoses IV dikatakan telah memulihkan patung
Sphinx yang tersergam di hadapan Sungai Nil.
Manakala ahli Egyptologi Islam yang pertama adalah ahli sufi terkenal,
Zun Nun al-Misri. Zun Nun al-Misri diriwayatkan sangat meminati tulisan
Hiroglif Mesir dan dikatakan telah memahami sebahagian besar tulisan
berkenaan.
Seorang lagi ilmuwan Islam yang pertama digelar ahli Egyptologi adalah
Ibnu Washiyya. Ibnu Washiyya dikatakan telah mendahului Jean-François
Champollion dalam menafsir tulisan Higrolif sebanyak empat abad.
Champollion dikenali pada hari ini sebagai individu pertama yang
menafsir tulisan Higrolif susulan terjumpanya batu Rosetta.
Bergitulah besarnya cabang bidang Egytologi ini. Miskipun banyak sudah
dibongkar dan dibuat kajian. Namun, masih banyak lagi yang belum
terbongkar sepenuh. Antaranya adalah berkenaan persoalan siapakah Firaun
yang memusuhi Nabi Musa as. Al-Quran tidak mencatatkan siapakah Firaun
tersebut. Bergitu juga dengan Injil dan Taurat.
Walaubagaimanapun, penulis telah tertarik dengan kajian yang dilakukan
oleh seorang ahli Egyptologi warga British berkelahiran Mesir, Ahmed
Osman. Ahmed Osman secara terperinci telah mendakwa bahawa seorang
figura Mesir Purba bernama Yuya adalah Nabi Yusuf yang diceritakan Allah
swt dalam al-Quran sebagai seorang menteri kerajaan Mesir Purba.
Nabi Yusuf as seperti yang diceritakan dalam al-Quran, Taurat dan Injil
Sejak satu abad yang lalu, pencarian tentang siapakah Nabi Yusuf as
dalam peradaban Mesir Purba giat dilakukan. Kebanyakkan dilakukan oleh
ahli arkeologi daripada Eropah dengan bersandarkan kepada Kitab New
Tastement(Injil) dan Old Tastement(Taurat). Namun, kajian tersebut
menemui jalan buntu dek kerana hasil penemuan yang tidak menepati dengan
apa yang disifatkan dalam kedua-dua kitab suci agama Kristian dan
Yahudi.
Dalam kitab tersebut ada menceritakan bagaimana Nabi Yusuf as telah
dikhianati oleh adik-beradiknya dengan meletakkan baginda di dalam
perigi tua. Adik-beradik baginda juga telah menipu bapanya iaitu Nabi
Ya’kub as dengan mendakwa Nabi Yusuf as telah dibaham serigala dengan
menunjukkan baju yang dilumur darah haiwan sebagai barang bukti. Nabi
Ya’kub as yang mengetahui anak-anaknya telah membohongi bagaimanapun
terpaksa redha dan meratapi nasib dirinya. Akibatnya, mata nabi Ya’kub
menjadi buta kerana kerap menangisi kehilangan anak kesayanganya itu.
Dalam ketiga-tiga kitab tidak menyalahi fakta asal antara satu sama
lain. Ketiga-tiga kitab suci tersebut ada menyatakan bagaimana Nabi
Yusuf as akhirnya diselamatkan daripada perigi buta tersebut dan dibawa
ke Mesir untuk dijadikan hamba abdi. Nabi Yusuf as kemudian dibeli oleh
seorang menteri dan dijagakan bagaikan anak mereka sendiri. Menteri
tersebut hanya digelar al-Aziz. Al-Aziz hanyalah panggilan bagi seorang
menteri dan bukanlah nama sebenar menteri yang menjaga Nabi Yusuf as.
Dalam Injil dan Taurat, nama menteri tersebut telah disebut sebagai
Potiphar.
Apabila meningkat dewasa, Nabi Yusuf as telah melalui sebuah dugaan yang
maha hebat apabila digoda oleh ibu angkatnya sendiri, Zulaikha. Di
dalam Injil mahupun Taurat, nama Zulaikha langsung tidak dinyatakan.
Akibat fitnah daripada Zulaikha, Nabi Yusuf as kemudiannya dihumban
dalam penjara. Di dalam penjara, Nabi Yusuf as telah menunjukkan
mukjizatnya dengan menafsir mimpi seorang banduan. Kebolehan Nabi Yusuf
as telah sampai kepada Firaun yang memerintah Mesir pada waktu itu. Nabi
Yusuf as telah dipanggil untuk menafsir mimpi Firaun. Kejayaan menafsir
mimpi Firaun dengan tepat akhirnya telah membuatkan baginda diangkat
menjadi wazir negara Mesir Purba.
Dakwaan Ahmed Osman
Ahmed Osman telah mendakwa Yuya adalah Nabi Yusuf as dengan beberapa
bukti yang boleh dikatakan kukuh. Ahmed Osman yang menggunakan
tiga sumber rujukan iaitu al-Quran, Injil dan Taurat sebagai dokongan dalam kajian beliau berkenaan dengan Yuya.
Antara dakwaan Ahmed Osman berkenaan Yuya adalah:
1. Tangan Yuyu
Mumia Yuya menurut Osman tidak seperti mumia-mumia yang lain. Tangan
mumia Yuya tidak menyilangkan tangan seperti mumia Firaun dan mumia
pembesar-pembesar Firaun. Adat menyilang tangan di dada sebenarnya
adalah mengikut tatacara Osiris iaitu salah satu dewa besar Mesir Purba.
Tangan Mumia Yuya bagaimanapun diletakkan pada bawah dagunya. Adat
letak tangan di bawah dagu seperti menyerupai adat resam bangsa Semitik
atau bani Israil. Ia memungkinkan bahawa Yuya adalah individu yang bukan
berasal daripada Mesir.
Bandingkan mumia Yuya(atas) dan mumia Firaun Maneptah. Lihat kedudukan tangan mereka.
2. Yuyu dan janggut
Wajah Yuya menyerupai wajah bangsa Semitik. Ia bersandarkan kepada
janggut, dagu dan wajah mumia Yuya yang bujur seperti wajah tipikal
bangsa Semitik. Ia ditambah dengan fakta bahawa tiada Firaun dan
pembesar Firaun yang menyimpan janggut kecuali Yuya sahaja. Adat
menyimpan janggut biasa dilakukan oleh bani Israil pada dahulukala.
Ia bersandarkan kepada tafsir al-Qummi melalui Jaafar al-Sadiq yang
berkata bahawa Allah swt telah menganugerahkan kepada moyang kepada
bangsa Israil dan Arab(Bangsa Semitik), Nabi Ibrahim as sebanyak sepuluh
kebaikan. Lima di kepala dan lima lagi di badannya.
Di kepala:
1. Bercukur misai.
2. Menyimpan janggut
3. Bercukur rambut di kepala
4. Memberus gigi
5. Memutihkan gigi
Di badan:
1. Berkhatan
2. Memotong kuku
3. Membersih badan dengan air bersih
4. Mencukur bulu ari-ari
5. Membersih diri selepas berjimak(mandi hadas besar)
Maka ia jelas sekali menunjukkan anak cucu Nabi Ibrahim perlu mengikut
syariat yang diturunkan daripada baginda termasuklah nabi Yusuf as yang
merupakan cicit baginda sendiri melalui datuknya, Nabi Ishak as. Melalui
penemuan mumia Yuya yang tidak bercukur janggut jelas membukti ia
adalah berasal daripada bangsa Semitik dan bukannya seseorang berbangsa
Mesir.
Lihat janggut mumia Yuya
3. Bapa kepada Firaun
Yuya adalah satu-satunya individu yang digelar ‘Bapa kepada Firaun’. Ia
selari dengan apa yang tercatat dalam Injil melalui Genesis 45:8.
“So then, it was not you who sent me here, but God.
He made me father to Pharaoh, lord of his entire household and ruler of
all Egypt."
Mana-mana individu tidak pernah digelar bapa kepada Firaun. Dan gelaran
seperti ini adalah kebesaran yang dianugerahkan kepada Yuya sebagai
orang kepercayaan Firaun. Ia jelas dinyatakan dalam al-Quran dalam surah
Yusuf ayat 54.
Dan raja(Firaun) berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih dia
sebagai orang yang rapat kepadaku.” Maka tatkala raja(Firaun) telah
bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: “Sesungguhnya kamu (mulai) hari
ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi
kami(Firaun dan pembesar-pembesar lain).”
Menurut ahli Egyptologi, Yuya digelar Father of Pharoah adalah kerana
Yuya merupakan bapa mertua kepada Firaun Amenhotep III melalui
perkahwinannya dengan anak perempuan Yuya, Tiye. Tiye adalah salah
seorang Isteri Diraja Terhebat(Great Royal Wife) dan dianggap nenek
moyang kepada fahaman Monoteisme.
Tiye digelar nenek-moyang kepada fahaman Monoteisme adalah kerana
anaknya, Firaun Akhanaten telah melakukan revolusi agama dengan
menghapuskan fahaman menyembah banyak tuhan kepada satu tuhan sahaja.
(InsyaAllah jika berkesempatan penulis akan menulis berkenaan Firaun
Akhanaten pula)
Persoalannya, bagaimana Tiye boleh digelar sedemikian rupa? Amat
mustahil Tiye mendapat visi daripada Tuhan kerana tiada nabi daripada
gologan wanita melainkan terpengaruh dengan seseorang yang paling rapat
dengannya. Dan orang paling rapat dengan Tiye semestinya bapanya sendiri
iaitu Yuya.
Kaitan Yuya dengan Tiye dan gelaran “bapa kepada Firaun” amat
menyakinkan bahawa Yuya sebenarnya adalah Nabi Yusuf as yang diceritakan
dalam tiga kitab suci agama Samawi(agama langit).
Tiye
4. Isteri dan gelaran Nabi Yusuf as
Firaun juga telah menganugerahkan Nabi Yusuf as dengan isteri daripada
bangsa Egypt dan nama dalam bahasa Mesir purba. Isteri Nabi Yusuf as
telah dinyatakan dalam Taurat melalui Book of Genesis sebagai Asenath.
Asenath adalah anak kepada seorang paderi Firaun yang bernama
Potipherah.
Sejarahwan Mesir, Manetho telah menulis sejarah negaranya pada abada
ketiga sebelum Masihi. Beliau telah menyebut berkenaan Firaun Amenhotep
III mempunyai seorang menteri yang digelar Sef. Ia kelihatan seperti
nama Josef dalam bahasa Ibrani dan Yusof dalam bahasa Arab. Jika
digabungkan dengan Yu(merujuk kepada tuhan bani Israil, Yahweh) dan
gelaran Mesir purba kepada Nabi Yusuf as iaitu Sef, ia jelas boleh
mengabungkan perkataan:
Y.U.S.E.F.
Telah menjadi kebiasaan kepada adat orang dahulu kala mengabungkan nama
sepertimana yang biasa kita dengar iaitu Tutankhamun(hasil gabungan nama
gelarannya, Tutan dan nama tuhan sembahannya, Amon), Amenhotep(gabungan
tuhan Amen dan nama gelarannya Hotep) dan banyak lagi. Maka, tidak
mustahil nama Nabi Yusuf as adalah hasil gabungan tersebut.
Waallahualam.
5. Bandar seratus pintu gerbang
Melalui perbandingan antara ketiga-tiga kitab suci dan rekod sejarah
Mesir purba, terdapat satu fakta yang boleh menguatkan lagi dakwaan
bahawa Yuya adalah Nabi Yusuf as. Dalam al-Quran, nabi Ya’kub as telah
berpesan kepada anak-anaknya supaya memasuki pintu gerbang yang
berlainan atas sebab-sebab tertentu. Ia termaktub dalam surah Yusuf ayat
67,
Dan Ya’qub berkata: “Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk
dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang
berlain-lain; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang
sedikitpun dari pada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu)
hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah
kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri.”
Dalam tradisi masyarakat Yahudi ada memperkatakan perihal kebimbangan
adik-beradik Yusuf as berkenaan niat jahat bangsa Mesir sehingga mereka
telah melalui sepuluh pintu gerbang yang berlainan.
“His brothers, fearing the evil eye, entered the city at ten different gates” (Midrash Bereshith Rabbah 89)
Mengikut penyajak terkenal berbangsa Yunani, Homer dalam sajaknya yang
ditulis pada abad ke-8 sebelum Masihi, Bandar Thebes mempunyai lebih
seratus pintu gerbang yang berlainan. Bandar Thebes yang terletak di
timur tebing sungai Nil adalah pusat pemerintahan kerajaan Mesir Purba.
Homer menggelarnya “Bandar seratus pintu gerbang”. Maka, ia jelas
menggambarkan wahyu yang disampaikan dalam al-Quran adalah merujuk
kepada Bandar Thebes yang juga tempat bersemayamnya Firaun dan para
menterinya termasuklah Nabi Yusuf as sendiri.
Salah satu pintu gerbang di bandar purba Thebes.
Penyangkalan orang Yahudi dan Kristian
Mengikut tradisi bani Israil, keranda nabi Yusuf as telah tenggelam ke
dalam sungai Nil. Walaubagaimanapun, terdapat juga dakwaan yang
menyatakan bahawa jenazah nabi Yusuf disemadikan dalam Istana Diraja
sesuai dengan statusnya sebagai menteri paling kanan Firaun ketika
hayatnya.
Semasa Exodus, Nabi Musa as dikatakan telah dibantu oleh Serah, anak
kepada Asher untuk menaikkan keranda Nabi Yusuf yang tenggelam di dalam
Sungai Nil. Serah kemudian menunjukkan tempat di mana keranda Nabi Yusuf
berada. Nabi Musa as tanpa berlengah telah melontar batu ke dalam
sungai dan berseru,
Yusuf! Yusuf! Masanya telah tiba untuk bani Israil diselamatkan daripada musuh mereka; bangkitlah dan jangan berlengah lagi.!
Ajaib sekali, keranda tersebut telah timbul dan terus diambil untuk dibawa bersama ke tanah yang dijanjikan.
Namun, tradisi Bani Israil tidak boleh dibenarkan sepenuhnya terutamanya
kita sebagai Umat Islam. Kebanyakkan telahpun ditokok tambah untuk
kepentingan mereka sendiri. Bergitulah yang terjadi kepada kisah jenazah
Nabi Yusuf as yang dikatakan tenggelam dalam sungai Nil.
Dalam kajian Ahmed Osman, ia adalah satu-satunya penyangkalan daripada individu yang menentang teorinya.
Sumber : https://takusahrisau.wordpress.com/2011/04/22/mumia-yuya-adalah-nabi-yusuf-as/